Dengan harga emas yang dijangka terus meningkat pada tahun 2025, ramai yang menunjukkan minat terhadap pelaburan emas – sama ada sebagai pelindung nilai, simpanan jangka panjang atau alternatif kepada pelaburan tradisional. 

Pakar menjangkakan trend kenaikan harga emas akan berterusan mengikut ketidaktentuan geopolitik global dan penyusutan nilai mata wang. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai melihat emas sebagai aset selamat yang mampu mengekalkan nilai ketika inflasi dan kejatuhan pasaran berlaku.

Tapi adakah emas masih berbaloi dalam situasi ekonomi sekarang? Jom kita bincangkan kebaikan, risiko dan jenis pelaburan yang ada di Malaysia supaya anda boleh buat keputusan yang lebih bijak berdasarkan situasi kewangan anda.

Apa Itu Pelaburan Emas?

Pelaburan emas merujuk kepada pembelian emas dalam bentuk fizikal seperti jongkong, syiling, barang kemas, atau pelaburan digital melalui akaun simpanan emas dan ETF (Exchange-Traded Funds). Terdapat juga pelaburan emas patuh syariah yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam tempatan, sesuai untuk pelabur Muslim yang mahukan pelaburan mengikut prinsip Syariah.

pelaburan islamik

Kelebihan Pelaburan Emas

1. Lindung nilai terhadap inflasi

Salah satu kelebihan pelaburan emas ialah keupayaannya bertindak sebagai ‘hedge’ terhadap inflasi. Bila nilai mata wang jatuh, harga emas biasanya naik. Sebagai contoh, kadar inflasi tahunan di Malaysia sekitar 3%, tetapi emas telah memberi pulangan sekitar 25% dalam tempoh 2–3 tahun kebelakangan ini.

2. Nilai kekal dalam jangka masa panjang

Sejak zaman dahulu lagi, emas dianggap sebagai simbol kekayaan dan pelaburan yang selamat. Ia kekal relevan walaupun dalam zaman moden kerana sifatnya yang tahan lama dan sukar rosak. Ramai rakyat Malaysia simpan emas sebagai ‘backup’ sekiranya berlaku kecemasan atau kejatuhan ekonomi.

3. Aset selamat semasa krisis

Ketika berlaku ketidaktentuan ekonomi atau kejatuhan nilai mata wang seperti ringgit, emas sering jadi pilihan kerana nilainya lebih stabil. Inilah sebab ramai pelabur memilih emas sebagai aset selamat untuk lindungi kekayaan mereka.

4. Pelbagaikan portfolio pelaburan

Emas sesuai dijadikan pelaburan tambahan dalam portfolio anda. Bila anda pecahkan pelaburan kepada beberapa jenis aset — contohnya emas, saham, hartanah — risiko keseluruhan boleh dikurangkan. Ini penting untuk jangka masa panjang.

Risiko Pelaburan Emas

1. Tiada pendapatan tetap

Risiko pelaburan emas utama ialah ia tidak menjana pendapatan berkala. Tak seperti saham atau bon yang beri dividen atau faedah, emas tidak memberi sebarang pulangan bulanan atau tahunan. Anda hanya untung bila jual semula pada harga yang lebih tinggi.

2. Turun naik harga dalam jangka pendek

Harga emas boleh naik dan turun dalam masa singkat bergantung pada sentimen pasaran dan isu geopolitik. Ini menyukarkan pelabur untuk jangka keuntungan konsisten jika merancang dalam jangka pendek.

3. Isu penyimpanan dan keselamatan

Kalau anda beli emas fizikal, anda perlu fikir tentang tempat simpanan yang selamat seperti peti keselamatan atau akaun simpanan khas. Kos penyimpanan juga boleh meningkat, dan emas fizikal sentiasa berisiko untuk dicuri.

Jenis Pelaburan Emas di Malaysia

Kalau anda baru nak mula, penting untuk tahu jenis pelaburan yang ada di pasaran. Antara jenis pelaburan emas yang popular:

1. Barang kemas emas

Biasanya dibeli untuk tujuan simpanan atau perhiasan, tetapi juga boleh dijadikan aset pelaburan jangka panjang. Jenis ini mudah dibeli dan dijual di kedai emas, namun nilai pelaburan mungkin tidak sebaik jongkong kerana adanya kos upah dan reka bentuk.

Sesuai untuk: mereka yang mahu simpan emas secara fizikal dan guna sebagai barang peribadi.

2. Jongkong dan syiling emas

Dikenali sebagai bentuk pelaburan emas fizikal yang lebih serius. Ia datang dalam pelbagai berat seperti 1g, 10g atau 100g. Harga lebih kompetitif kerana tiada kos pembuatan seperti barang kemas.

Sesuai untuk: pelabur yang ingin kumpul aset fizikal dalam jumlah besar sebagai simpanan nilai jangka panjang.

3. Akaun emas digital

Sekarang anda boleh melabur tanpa . Anda beli dan simpan emas secara digital melalui aplikasi bank atau platform pelaburan. Harga biasanya ikut harga pasaran semasa dan boleh dijual bila-bila masa.

Sesuai untuk: pelabur baru atau mereka yang nak elak pening urus penyimpanan fizikal.

4. ETF emas (Exchange-Traded Fund)

Melabur emas melalui pasaran saham. Anda tidak miliki emas secara fizikal tetapi untung rugi bergantung pada pergerakan harga emas global. Sesuai untuk pelabur yang aktif di pasaran saham.

Sesuai untuk: pelabur berpengalaman yang mahukan pendedahan terhadap emas tanpa perlu pegang emas.

5. Pelaburan Emas Patuh Syariah

Ditawarkan oleh bank Islam atau platform tertentu. Mengikut prinsip jual beli Islam — transaksi mesti dilakukan secara ‘spot’ dan disokong oleh emas sebenar.

Sesuai untuk: pelabur Muslim yang pentingkan pematuhan Syariah dalam urusan kewangan.

Adakah Pelaburan Emas Sesuai Untuk Anda?

Kebaikan pelaburan emas terletak pada fungsinya sebagai pelindung nilai, aset simpanan jangka panjang dan alat untuk mempelbagaikan portfolio. Tapi dalam masa yang sama, ia bukan pelaburan yang beri pulangan tetap dan memerlukan perancangan penyimpanan yang teliti.

Kalau anda cari pelaburan jangka panjang yang stabil dan tidak kisah tentang pulangan bulanan, emas mungkin sesuai untuk anda. Tapi kalau anda perlukan aliran tunai konsisten atau lebih suka pelaburan aktif, mungkin ada pilihan lain yang lebih baik.

Nak tahu lebih banyak pilihan pelaburan selain emas? Jangan lupa baca panduan pelaburan lain di blog kami.