Menjalankan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Sama ada anda seorang usahawan baru atau pemilik bisnes berpengalaman, satu perkara yang pasti: modal sangat penting untuk pertumbuhan dan kelangsungan bisnes.

Tapi, banyak pilihan yang ada, termasuk pinjaman perniagaan konvensional dan pembiayaan alternatif. Jadi mana satu yang mana satu paling sesuai untuk keperluan bisnes anda?

Artikel ini akan menerangkan perbezaan antara pinjaman perniagaan dan jenis pembiayaan lain yang terdapat di Malaysia, termasuk kelebihan dan kekurangannya, supaya anda boleh buat keputusan yang tepat.

Pembiayaan MIkro/-i Funding Societies

Apa Itu Pinjaman Perniagaan?

Pinjaman perniagaan ialah bentuk pembiayaan yang biasanya ditawarkan oleh bank atau institusi kewangan untuk menyokong keperluan kewangan bisnes. Ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti:

  • Mengembangkan bisnes
  • Membeli mesin atau kelengkapan
  • Menambah modal kerja

Jenis-Jenis Pinjaman Perniagaan di Malaysia

Terdapat pelbagai jenis pinjaman yang ditawarkan kepada perniagaan di Malaysia, bergantung kepada keperluan bisnes dan tahap kematangan syarikat.

Pinjaman Bertempoh (Term Loan)

Biasanya diberikan dalam satu jumlah besar dan dibayar balik dalam tempoh tertentu melalui ansuran tetap. Ia sangat sesuai untuk perbelanjaan besar seperti membuka cawangan baharu atau membeli jentera.

Pinjaman Modal Kerja (Working Capital Loan)

Digunakan untuk menampung keperluan operasi harian seperti pembelian stok atau pembayaran gaji pekerja. Pinjaman jenis ini amat berguna bagi syarikat yang menghadapi aliran tunai tidak menentu atau bermusim.

Pinjaman Hartanah Perniagaan

Membolehkan syarikat membeli atau mengubah suai premis perniagaan. Biasanya pinjaman ini disokong oleh cagaran hartanah dan menawarkan tempoh bayaran yang lebih panjang.

Kelebihan Pinjaman Perniagaan

  • Ia datang dengan pelan bayaran balik tetap, memudahkan syarikat merancang bajet dan aliran tunai.
  • Bayaran yang konsisten boleh meningkatkan skor kredit bisnes, memudahkan akses kepada pembiayaan pada masa hadapan.
  • Anda tidak perlu berkongsi pemilikan bisnes kerana tiada pengurangan pegangan saham seperti dalam pelaburan ekuiti.

Kekurangan Pinjaman Perniagaan

Namun begitu, terdapat juga beberapa kekangan:

  • Proses permohonan lebih ketat dan panjang, memerlukan dokumen lengkap dan sejarah kewangan yang kukuh.
  • Kelulusan dan pencairan dana boleh mengambil masa, terutamanya bagi pinjaman besar atau yang memerlukan penilaian cagaran.

Pinjaman perniagaan sesuai untuk syarikat yang sudah mapan dan mempunyai perancangan kewangan yang jelas. Jika anda dalam kategori ini, ia boleh menjadi pilihan pembiayaan yang stabil dan berstruktur. 

Apa Itu Pembiayaan Perniagaan?

Pembiayaan perniagaan ialah istilah lebih luas yang merangkumi pelbagai bentuk bantuan kewangan selain pinjaman bank. Ia termasuk:

  • Pembiayaan peer-to-peer (P2P)
  • Pembiayaan invois
  • Geran kerajaan
  • Modal teroka (venture capital)

Jenis-Jenis Pembiayaan Perniagaan di Malaysia

Selain pinjaman tradisional, terdapat juga pelbagai bentuk pembiayaan alternatif yang semakin popular dalam kalangan usahawan di Malaysia.

Pembiayaan Rakan Setara (P2P) 

Membolehkan perniagaan mendapatkan dana terus daripada pelabur individu melalui platform digital. Ia tidak memerlukan cagaran, lebih mudah dipohon dan sesuai untuk PKS yang ingin mendapatkan pembiayaan jangka pendek secara fleksibel.

Pembiayaan Invois

Memberi peluang kepada syarikat untuk menukar invois belum dibayar kepada tunai segera. Ini membantu mempercepat aliran tunai, terutamanya bagi syarikat yang bergantung kepada pembayaran klien dalam tempoh panjang.

Geran dan Pinjaman Kerajaan

Geran dan Pinjaman Kerajaan ditawarkan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, MARA dan SME Corp. Ia mempunyai terma mesra usahawan seperti kadar faedah rendah atau tanpa faedah, namun permohonannya sering kompetitif dan tertakluk kepada syarat tertentu seperti sektor perniagaan dan tujuan penggunaan.

Pelaburan Ekuiti (VC / Angel Investor)

Pelaburan Ekuiti (Venture Capital dan Angel Investor) menyediakan modal dalam jumlah besar dan disertai dengan bimbingan perniagaan, strategi dan rangkaian industri. Namun, pemilik perniagaan perlu melepaskan sebahagian pemilikan syarikat, menjadikannya pilihan yang lebih sesuai untuk bisnes teknologi atau yang berada dalam fasa pertumbuhan pesat..

Perbandingan: Pinjaman Perniagaan vs Pembiayaan Alternatif

Aspek Pinjaman Perniagaan Pembiayaan Perniagaan
Jadual Bayaran Tetap (bulanan/suku tahun) Fleksibel, bergantung kepada jenis
Kadar Faedah Lebih rendah jika bercagar Boleh lebih tinggi, terutama jika tanpa cagaran
Proses Permohonan Panjang, banyak dokumen Lebih pantas, kurang dokumen
Cagaran Biasanya diperlukan Jarang diperlukan
Sekatan Penggunaan Mungkin terhad Lebih fleksibel
Kelajuan Dana Perlahan (minggu/bulan) Laju (dalam beberapa hari)
Sesuai Untuk PKS mapan dengan rancangan jelas PKS baru, perlukan dana cepat

Bila Perlu Pilih Pinjaman Perniagaan

Jika bisnes anda mempunyai sejarah kewangan yang kukuh dan sudah lama beroperasi, pinjaman perniagaan tradisional mungkin pilihan terbaik. Ini kerana institusi kewangan lebih cenderung meluluskan pinjaman kepada syarikat yang stabil dan berisiko rendah.

  • Anda ada sejarah kredit bisnes yang kukuh – Bank akan lebih mudah meluluskan permohonan jika anda ada rekod bayaran balik yang baik.
  • Perlukan jumlah dana besar – Pinjaman bertempoh sesuai untuk perbelanjaan besar seperti membuka cawangan baharu atau beli mesin.
  • Mahu pelan bayaran tetap dan kadar faedah rendah – Pinjaman bank biasanya menawarkan jadual bayaran yang tetap dan kadar lebih rendah jika ada cagaran.
  • Ada cagaran seperti aset atau hartanah – Jika anda boleh sediakan cagaran, peluang lulus lebih tinggi dengan terma yang lebih baik.

Bila Lebih Sesuai Pilih Pembiayaan Alternatif

Bagi bisnes yang lebih baharu atau perlukan dana secara cepat, pembiayaan alternatif seperti P2P atau pembiayaan invois mungkin lebih praktikal.

  • Anda perlukan dana segera – Platform digital biasanya boleh lulus dan salur dana dalam masa beberapa hari sahaja.
  • Bisnes anda baru dan tiada rekod kredit – Banyak penyedia pembiayaan alternatif lebih fleksibel dari segi kelayakan.
  • Mahukan fleksibiliti dalam penggunaan dana – Pembiayaan alternatif biasanya tidak terikat dengan syarat penggunaan tertentu.
  • Anda berada dalam industri inovatif atau berkembang pesat – Pelabur atau pemberi dana alternatif lebih terbuka kepada risiko jika bisnes anda menunjukkan potensi tinggi.

Kesimpulan Pinjaman Perniagaan vs Pembiayaan Alternatif

Pilihan antara pinjaman perniagaan dan pembiayaan bergantung kepada keperluan bisnes anda. Jika anda mahukan struktur pembayaran yang tetap dan kadar faedah lebih rendah, pinjaman perniagaan adalah pilihan baik. Tapi jika anda perlukan akses pantas kepada dana dan tidak mempunyai cagaran atau sejarah kredit yang kuat, pembiayaan alternatif boleh dipertimbangkan.

Pertimbangkan kedudukan kewangan semasa, pelan pertumbuhan dan keperluan bisnes sebelum membuat keputusan.

Ingin ketahui lebih lanjut? Terokai pembiayaan perniagaan alternatif yang ditawarkan oleh Funding Societies hari ini dan pilih solusi yang paling sesuai untuk pertumbuhan bisnes anda.